SYLHET - BANGLADESH. Seorang blogger sekular ditemui maut dengan beberapa kesan tetakan di utara Bangladesh, hari ini.

Menurut BBC, polis memberitahu, kematian blogger Ananta Bijoy Das merupakan kes ketiga membabitkan pembunuhan blogger, tahun ini.

Das merupakan blogger kepada laman web Mukto-Mona (kebebasan minda), di mana pemilik web tersebut, Avijit Roy mati ditetak Februari lepas.

Difahamkan, Roy telah mengkritik berhubung toleransi agama.

Isteri Roy, Rafida Bonya Ahmed putus ibu jari dalam serangan tersebut.

Pada Mac, Washiqur Rahman, juga seorang blogger ditetak hingga mati.

Sarah Hossain, seorang peguam dan aktivis memberitahu, kesemua mangsa merupakan sasaran oleh pihak tertentu.

"Mereka berkait rapat dengan blog Mukto-Mona yang mengetengahkan pemikiran bebas dan mengkritik asas agama, terutamanya asas agama Islam," kata Sara.

Pembunuhan Roy telah menyebabkan protes besar-besaran oleh pelajar dan aktivis sosial.