Search This Blog

Monday, May 4, 2015

Banjir kilat landa Australia



DUA kenderaan tersadai selepas dihanyutkan banjir kilat dekat Brisbane kelmarin. - Agensi


SYDNEY – Angka kematian akibat hujan lebat di pantai timur Australia meningkat kepada enam orang semalam, manakala amaran banjir kilat diteruskan selepas beribu-ribu kediaman digenangi air bah.
Negeri Queensland dan New South Wales (NSW) berdepan tugas berat untuk membersihkan kawasan-kawasan yang dilanda banjir. Namun, situasi dua negeri di timur Australia itu diramalkan semakin baik selepas mengalami cuaca buruk selama dua hari.
“Kami tidak pernah melihat hujan sebegini lebat seperti turun dalam masa yang singkat,” kata Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk dalam satu wawancara bersama saluran televisyen tempatan, Channel Seven di ibu negeri Queensland, Brisbane semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang kanak-kanak berumur enam tahun menjadi korban banjir keenam apabila dia dihanyutkan ombak besar di sebuah pantai di NSW kelmarin, kata polis dan beberapa anggota penyelamat.
Sebelum itu pada Jumaat lepas, lima orang termasuk seorang budak lelaki lima tahun turut maut apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda terperangkap dalam banjir kilat di Caboolture, sekitar 44 kilometer ke utara Brsibane.
Mengulas perkembangan banjir semasa, datuk bandar tempatan, Allan Sutherland menyifatkan hujan kali ini adalah yang paling lebat dalam tempoh 200 tahun.
Hujan sebanyak 277 milimeter turun dalam masa cuma tiga jam di Caboolture pada Jumaat lalu. Rantau berkenaan menerima taburan hujan sebanyak 360 milimeter dalam masa kurang 24 jam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Z99BSokr 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment