DHAKA - Bangladesh melancarkan operasi besar-besaran memburu sindiket pemerdagangan manusia yang didakwa menghantar ribuan pelarian ke negara-negara Asia Timur melalui pelayaran laut berisiko, kata pegawai semalam.
Sekurang-kurangnya lima anggota sindiket berkenaan terbunuh dalam pertempuran dengan polis, Ahad lalu, di pesisir pantai Cox's Bazar yang menjadi pusat transit utama bagi pendatang haram.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina mengambil langkah itu selepas laporan terbaru dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian mendakwa, lebih 300 orang mati dalam perjalanan ke Malaysia dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ia termasuk penemuan lebih 30 mayat di sebuah kem rahsia di wilayah Songkhla, Thailand, awal bulan ini.

"Kami telah menghantar isyarat bersedia kepada pasukan keselamatan untuk menggagalkan sebarang percubaan penyeludupan manusia di sekitar pelabuhan Bengal dan sempadan Myanmar," kata ketua daerah Cox's Bazar, Md Ali Hossain.

Setakat ini, Bangladesh berjaya memberkas 30 anggota sindiket penyeludupan manusia sejak operasi dilancarkan Ahad lalu. - dpa