WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Tentera Amerika Syarikat (AS) secara tidak sengaja mengirim bakteria anthrax yang masih hidup ke sembilan makmal di seluruh negara.
 
Pengumuman itu dibuat Pentagon, sejurus selepas seramai 22 anggota mungkin terdedah kepada anthrax semasa latihan di pangkalan tentera AS di Korea Selatan, kelmarin.
 
Jurucakap Pentagon, Kolonel Steve Warren berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana kesilapan seumpama itu boleh berlaku sambil menegaskan tiada risiko jangkitan virus ke atas orang awam.
 
Difahamkan, bakteria itu dikirim dari kemudahan tentera darat di Utah dan sembilan makmal terbabit sepatutnya menerima sampel anthrax mati bagi tujuan penyelidikan.
 
Spora hidup itu telah dikirim ke Texas, Maryland, Wisconsin, Delaware, New Jersey, Tennessee, New York, California dan Virginia.
 
“Kami bekerjasama dengan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan sebagai pencegahan, Jabatan Pertahanan telah menghentikan pengiriman material ini dan sedang menunggu hasil siasatan," ujar Warren.
 
Pada 2001, lima maut dan 17 yang lain jatuh sakit di AS, apabila sampul mengandungi serbuk anthrax dikirim ke beberapa pejabat berita dan dua pejabat Senator Demokratik menggunakan perkhidmatan pos. - Al Jazeera