KATHMANDU - NEPAL. Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan lebih 300 orang cedera apabila gempa bumi kuat pada 7.4 skala Richter menggegarkan Nepal pada Selasa.

"Bagaimanapun, kami sedang mengumpul lebih banyak maklumat dari seluruh negara dan kami akan dapat menentukan jumlah kematian dan kecederaan dalam gempa bumi hari ini (Selasa)," kata Timbalan Ketua Polis Negara, Hemanta Pal.

Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan Nepal, gempa bumi itu berukuran 7.4 pada skala Richter.

Gempa bumi itu berpusat 150 kilometer ke timur Kathmandu. Sekurang-kurangnya tiga gempa susulan dengan kekuatan 5.6, 5.5 dan 6.2 pada skala Richter dilaporkan berlaku.

Penduduk bergegas keluar dari rumah masing-masing dan meluru ke kawasan tanah lapang untuk menyelamatkan diri.

Butir-butir mengenai kerosakan belum lagi dilaporkan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Nepal terus ditutup selama dua jam tetapi telah dibuka semula.

Pada 25 April lepas, gempa bumi yang kuat berukuran 7.9 skala Richter melanda dengan mengorbankan lebih 8,000 orang.

Lebih 650 gempa susulan telah dilaporkan sejak 25 April sehingga gempa bumi yang kuat pada hari ini. - Bernama