Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Tahar Muhammad, 73, terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu akibat cedera parah di bahagian kepala akibat hentakan TV bersaiz 81.3 sentimeter (32 inci) itu.
Difahamkan, warga emas yang kini berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu masih tidak sedarkan diri dan keadaannya kritikal.
Menurut ibu saudara suspek yang dikenali sebagai Na, 46, ketika kejadian, suspek berusia 39 tahun yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu tinggal berdua bersama bapanya manakala ibu dan adik perempuannya berada di rumah abang sulung lelaki tersebut yang terletak berhampiran.
Katanya, selepas kejadian suspek melarikan diri dan berjaya ditahan oleh orang kampung.
“Menurut ahli keluarga, sejak akhir-akhir ini suspek memang berkelakuan pelik dan jarang bercakap dengan ahli keluarga terma­suk dengan emaknya sedangkan dia memang rapat dengan kakak ipar saya itu,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, di sini hari ini.
Na berkata, suspek yang bekerja sebagai tukang rumah tidak pernah mengamuk sehingga mencederakan ahli keluarga sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, suspek yang kini dalam tahanan disahkan positif dadah jenis morfin dan akan direman esok.