Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, A. Ramu, 39, ditemukan seorang gadis berusia 21 tahun yang terdengar jeritan mang­sa meminta tolong sebelum menghubungi abangnya untuk mendapatkan bantuan.
Difahamkan, ketika anggota bomba dari Pasir Puteh tiba di lokasi kira-kira pukul 6.12 petang, mangsa berada dalam keadaan nazak dengan kesan lecur di seluruh badan sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, lima suspek berusia antara 20-an hingga 60 tahun ditahan sejam kemudian di sebuah rumah kongsi berhampiran manakala seorang lagi ditangkap di Jertih, Terengganu.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipukul di sebuah rumah kongsi yang didiami bersama kesemua suspek disebabkan perselisihan faham.
“Mangsa yang disangka telah mati dipindahkan ke ladang kelapa sawit berhampiran untuk dibakar bagi menghapuskan bukti.
“Mangsa yang sedang mengerang kesakitan akibat terbakar 100 peratus di seluruh badan ditemukan saksi yang ketika itu sedang mencari lembu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dan Sesi Taklimat Kepada Pesara-pesara Polis Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Menurut Mazlan, berdasarkan siasatan, pihaknya kemudian menyerbu sebuah rumah kongsi dipercayai tempat mangsa dipukul.
“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas tiga buah telefon bimbit, sebuah tab jenama ASUS, satu mata gergaji tanpa hulu, sebatang paip berwarna putih, sebuah tong kosong dan sebuah kereta Proton Satria.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan ke­semua suspek direman selama tujuh hari,” katanya.