Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, antara ditahan dalam serbuan selama empat jam itu ialah tiga pelajar sekolah menengah dan empat penuntut universiti.
“Ketika ditahan beberapa individu termasuk kumpulan pelajar terbabit yang berumur lingkungan 16 hingga 21 tahun berada dalam keadaan khayal disyaki mengambil dadah jenis syabu dan ganja,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Operasi yang berakhir pada pukul 4 pagi itu melibatkan seramai 10 orang pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Menurut Zainol, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kumpulan pelajar tersebut mendapati semua mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Turut ditahan seorang lelaki berusia 34 tahun dipercayai bertindak sebagai penganjur dan kita merampas 16 peket kecil berisi syabu dan satu bungkusan berwarna perang dipercayai ganja.
“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala penganjur parti itu disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama,” katanya.- UTUSAN ONLINE