Search This Blog

Wednesday, May 13, 2015

48 maut, kerosakan semakin buruk gempa terbaharu di Nepal

KATHMANDU: Pihak berkuasa Nepal mengeluarkan angka kematian akibat gempa bumi terbaharu yang melanda semalam kini sudah meragut 48 nyawa manakala lebih 1,100 lagi cedera.
Dilaporkan 17 kematian turut membabitkan rakyat di negara yang bersempadan dengan Nepal iaitu utara India.
Gempa terbaharu berukuran 7.3 magnitud itu melanda jam 12.35 tengah hari waktu tempatan berpusat di 76 kilometer di timur Kathmandu, demikian menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) selepas gempa 7.8 magnitud pada 25 April lalu yang mengorbankan lebih 8,000 orang.
Gegaran gempa bumi semalam turut dirasai jarak sejauh New Delhi menyebabkan bangunan runtuh di Tibet, di sempadan China dan mengorbankan sekurang-kurangnya seorang penduduk.

Gempa susulan 6.3 magnitud dilaporkan melanda Nepal kira-kira setengah jam kemudian diikuti beberapa lagi gegaran kecil, lapor USGS.
Lapan penduduk maut di Lembah Kathmandu dan dua bangunan besar runtuh di ibu negara Nepal itu.
Namun Dolakha dan Sindhupalchowk, dua daerah yang paling teruk terjejas akibat gempa pertama lalu turut menerima kesan kerosakan.
Di Dolakha saja 26 orang disahkan maut.
"Banyak rumah ranap di Dolakha... ada perubahan dari segi jumlah kematian di daerah ini yang pastinya akan meningkat," kata Menteri Dalam Negeri, Bam Dev Gautam.
Palang Merah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai jumlah angka kematian lebih besar di Bandar Chautara di Sindhupalchowk, di mana Palang Merah Norway membuka hospital di sana.
"Ratusan orang ramai berpusu-pusu mendapatkan rawatan. Mereka merawat puluhan mereka yang cedera dan melakukan banyak pembedahan," kata jurucakapnya, Nichola Jones.
Hospital sementara menggunakan khemah dibuka di Tatopani berdekatan sempadan China yang diuruskan oleh Palang Merah Kanada dilaporkan rosak teruk disebabkan tanah runtuh. - AFP
KEADAAN rumah yang runtuh akibat gempa bumi kali kedua yang melanda Nepal.- Foto EPA

No comments:

Post a Comment