Search This Blog

Friday, May 22, 2015

400,000 liter minyak tumpah



BEBERAPA pekerja membersihkan lapisan minyak akibat tumpahan minyak di sebuah perairan di Santa Barbara, Los Angeles baru-baru ini.


LOS ANGELES – Gabenor California mengisytiharkan darurat ketika pekerja bertungkus-lumus menghentikan tumpahan dan membersihkan beberapa pantai popular selepas beribu-ribu liter minyak mentah mencemari air laut akibat saluran paip minyak pecah.
Sehari selepas tumpahan berlaku dekat Santa Barbara, barat daya Los Angeles, pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat berkata, lapisan minyak mentah sejauh 14 kilometer jelas kelihatan di perairan Lautan Pasifik.
Kemalangan itu menyebabkan Gabenor Edmund Brown mengisytiharkan darurat di Santa Barbara kelmarin bagi mempercepatkan penghantaran beberapa pasukan khas untuk membersihkan tumpahan berbahaya itu.
“Kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk melindungi perairan California,” kata Brown sejurus sebelum perisytiharan darurat.
Sejumlah pekerja menggunakan pencakar, trak dan pelapik untuk membersihkan lapisan minyak yang melitupi pasir Pantai Refugio di mana sebuah kem riadah telah dikosongkan.
Tumpahan itu dianggarkan mencecah 400,000 liter dengan sekitar 8,000 liter minyak mentah berkemungkinan bocor ke dalam laut, menurut pihak berkuasa setakat tengah hari kelmarin.
Kemalangan pada Selasa lepas itu dipercayai berpunca daripada saluran paip bawah laut milik Plains All American Pipeline yang pecah.
Saluran paip berdiameter 60.9 sentimeter itu dibina untuk menghantar minyak mentah dari sebuah fasiliti simpanan ke beberapa loji penapisan minyak di selatan California.
Saluran paip itu boleh mengangkut lebih 19,000 liter minyak mentah pada setiap sejam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3aof0eEeU 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment