Search This Blog

Monday, May 11, 2015

39 panggilan adu rasuah


Oleh Muhamaad Razis Ismail

razis@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir yang ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 286 panggilan berhubung pelbagai aduan bantuan banjir sehingga kelmarin.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Tabung dan Dana Banjir SPRM berkata, daripada jumlah itu 39 panggilan adalah aduan berkaitan rasuah dan penyelewengan dana dan semua aduan disiasat mengikut Akta SPRM 2009.
“Tindakan kita membuat semakan semula terhadap panggilan itu dan membuka kertas siasatan, namun sehingga kini belum ada dihadapkan ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Jawatankuasa Intergriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir, semalam.
Hadir sama, Pengarah SPRM Kelantan Datuk Abdul Aziz Aban dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Azhar Mohamad.
Mengulas lanjut, Mustafar berkata, kira-kira 100 orang yang tidak membuat tuntutan wang ihsan banjir selepas menyedari membuat tuntutan bertindih terhadap bantuan itu.
“Malah ada yang memulangkan kembali wang berkenaan selepas mendengar taklimat daripada SPRM,” katanya.
Menurutnya, secara keseluruhan usaha SPRM dengan kerjasama pihak berkuasa lain berjaya melancarkan proses pengagihan kepada penerima yang layak sekali gus mengelak ketirisan.
“Kita akui masih ada beberapa kelemahan dalam urusan sistem dan prosedur berhubung dengan pengagihan bantuan wang ihsan banjir.
“Sehubungan itu SPRM dengan jabatan dan agensi berkaitan akan menambah baik garis panduan pengurusan dana serta mengadakan pangkalan data mengenai butiran penduduk setempat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mustafar mengumumkan penutupan operasi bilik gerakan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir mulai semalam.
“Bagaimanapun aduan atau maklumat daripada orang ramai akan terus diterima dan mereka boleh hubungi pejabat SPRM terdekat,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50108#sthash.sshiwgjc.dpuf

No comments:

Post a Comment