Diketuai Ketua Polis Negeri, Datuk Zamri Yahya, operasi yang berlangsung selama lebih enam jam dan bermula pada pukul 10 malam itu turut menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 830 individu serta 611 kenderaan.
Pemeriksaan itu membawa kepada pengeluaran 87 saman trafik.
"Dua daripada mereka yang ditahan sememangnya dikehendaki polis kerana terlibat dengan kes curi ken­deraan bermotor serta pecah rumah dan mencuri. Salah seorang yang lain pula merupakan suspek kepada kes mendatangkan kecederaan.
"Selain itu, kami turut menemukan sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas operasi itu berakhir awal pagi ini.
Seramai 29 pegawai dan 167 anggota polis terlibat dalam operasi tersebut yang menyaksikan sebanyak 24 serbuan dilakukan di sekitar daerah ini.
Difahamkan lima lelaki turut ditahan dalam operasi berkenaan kera­na terlibat dengan kes dadah dan daun ketum di sekitar Gurun.
Mengulas mengenai GRO yang ditahan, Zamri berkata, kes itu disiasat mengikut Peraturan 39b Peraturan Imigresen 59/63 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.
"Pemeriksaan mendapati, pusat hiburan terbabit yang terletak di Pekan Lama dekat sini, tidak memiliki permit lesen hiburan dan didenda mengikut Enakmen Hiburan 6(2) dan Tempat-tempat Hiburan 1997," katanya.