Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Adnan Abdullah, daripada kesemua suspek terbabit yang berusia di antara 20 hingga 40 tahun itu, enam daripadanya merupakan warga tempatan, India (lima), Sri Lanka (tiga) manakala empat lagi adalah warga Bangladesh.
Katanya, kesemua mereka ditahan setelah pihaknya menerima maklumat mengenai satu kes penculikan yang melibatkan seorang mangsa warga Bangladesh berusia 32 tahun di Taman Cahaya Ampang, Khamis lalu.
“Sebahagian suspek terbabit kita tahan di beberapa lokasi di Kajang iaitu di Pusat Perindustrian Sungai Chua, Pangsapuri Sutera Emas dan Pangsapuri City Height. Selain itu kita turut menahan beberapa lagi suspek dalam serbuan di kawasan sekitar Petaling Jaya.
“Pada masa sama, kita juga menemui mangsa yang dikurung dalam sebuah rumah di Taman Medan kira-kira pukul 6 pagi ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Tambah Mohd. Adnan, selain penahanan semua suspek, pihak­nya turut merampas pistol mainan, gari serta beberapa buah telefon bimbit milik suspek terlibat yang difahamkan telah menghubungi keluarga mangsa di Bangladesh pada Jumaat lalu untuk menuntut wang tebusan berjumlah RM140,000 termasuk mengugut akan membunuh mangsa sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Malah ketika kejadian penculikan itu katanya, seorang suspek dipercayai telah menyamar sebagai anggota polis difahamkan dengan niat untuk menakut-nakutkan mangsa.
Bagaimanapun, Mohd. Adnan tidak menolak kemungkinan ke­semua suspek yang ditahan itu mungkin terlibat dalam beberapa kes penculikan lain yang melibatkan warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang sebelum ini.
Kes itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.