Search This Blog

Tuesday, May 26, 2015

139 kubur besar, kecil di Wang Kelian


Polis juga temukan 28 buah khemah dan bangsal pelbagai saiz
SHARILFUDDIN SAARI  |  26 Mei 2015 1:53 AM


PADANG BESAR 25 Mei - Lokasi pemerdagangan manusia yang dibongkar Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan Wang Kelian di sempadan negeri ini dan Thailand, disahkan mengandungi sebanyak 139 buah kubur besar dan kecil dipercayai milik pendatang asing.
Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar
Turut ditemukan di lokasi terletak hanya kira-kira 100 meter dari negara jiran itu adalah penempatan warga asing berpagar kawat duri yang di dalamnya terdiri daripada 28 buah bangsal dan khemah pelbagai saiz.
Berdasarkan maklumat diperoleh, lokasi penempatan itu telah beroperasi sejak 2013 dan kali terakhir ditinggalkan kira-kira dua minggu lalu berdasarkan penemuan peralatan memasak dan makanan yang masih baharu.
Lebih menyedihkan, turut ditemukan ialah mayat seorang mangsa pemerdagangan yang dibiarkan sahaja mereput di atas tanah.
Sebanyak 247 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), 100 anggota forensik dan pasukan perubatan kini ditugaskan untuk menggali kubur-kubur berkenaan dan menyempurnakan mayat-mayat bermula hari ini selain mengumpul bukti-bukti.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya berpuas hati terhadap hasil operasi dijalankan bermula 11 Mei lalu dan tamat kelmarin serta percaya telah dapat meliputi keseluruhan kawasan sempadan di negeri ini.
“Kita bahagikan kepada tiga sektor operasi iaitu bermula dari Tangga 100 (permulaan sempadan) sehingga Wang Kelian sejauh 11 kilometer, Wang Kelian sehingga Kurung Batang (24 kilometer) dan Kurung Batang sehingga Kampung Wai (14.5 kilometer).
“Sektor pertama adalah berbukit agak curam di bahagian Malaysia dan landai di Thailand diikuti kedua, berbukit di kedua-dua bahagian dan ketiga kawasan perkampungan.
“Hasilnya, kita dapati terdapat sejumlah penempatan manusia dan kubur disyaki pendatang warga asing di sektor pertama manakala dua lagi sektor tiada kesan (penempatan dan kubur) ditemukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang sesak dihadiri oleh kira-kira 50 wartawan asing dan tempatan di Markas Taktikal Op Wawasan Khas Wang Kelian di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.
Khalid seterusnya menjelaskan, lokasi penempatan manusia yang dibongkar itu merupakan hanya transit kepada pendatang asing yang ingin memasuki negara ini dan bukannya laluan penyeludupan manusia.
Katanya, golongan itu yang dibawa sindiket dari negara mereka akan dikurung di situ dalam tempoh tertentu sementara menunggu bayaran daripada keluarga di negara asal.
“Sebaik sahaja menerima bayaran, golongan itu akan dibawa masuk ke sempadan Thailand semula dan kemudian diuruskan untuk memasuki Malaysia menggunakan sama ada laluan sah atau laluan tikus,” ujarnya.
Mengenai kelemahan penguatkuasaan sehingga gagal mengesan kegiatan pemerdagangan di kawasan itu, beliau memberitahu, tiada rondaan dijalankan di situ kerana lokasinya yang berbukit dan hutan.
“Kita menumpukan rondaan di kawasan kampung dan laluan penduduk. Sebelum dibongkar, kita tidak menerima maklumat,” katanya yang turut memberitahu, tiada pagar yang memisahkan antara dua negara di situ.
Beliau berkata, sejak awal tahun ini sehingga kini, seramai 37 orang termasuk dua anggota polis telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 90 peratus ditahan di bahagian utara Semenanjung iaitu Perlis serta Kedah dan bakinya di Kelantan.
“Kita juga telah mendakwa seramai 20 orang di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 pada tahun ini manakala tahun lalu seramai 66 orang.
“Pendakwaan ini membuktikan PDRM serius menangani kegiatan pemerdagangan manusia dan pendedahan (kubur dan penempatan) ini pula menunjukkan kita telus dan tidak menyembunyikan apa-apa,” ujarnya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh sama juga, pihaknya menahan seramai 1,305 pendatang asing tanpa izin di Perlis diikuti Kedah (853 orang), Perak (495 orang) dan Kelantan (88 orang).
Semalam, akhbar melaporkan penemuan 30 kubur besar yang dipercayai mengandungi ratusan mayat pendatang asing Bangladesh dan Myanmar di Wang Kelian.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/139-kubur-besar-kecil-di-wang-kelian-1.95954#sthash.QXQuoFbF.dpuf

No comments:

Post a Comment