Search This Blog

Saturday, May 30, 2015

100 mati sehari

Hyderabad: Cuaca panas yang melanda sebahagian India menyebabkan ratusan ribu kampung di negara itu berdepan dengan kekurangan bekalan air dan meragut nyawa ratusan lagi penduduk, kelmarin.
Menurut pegawai, sehingga pagi semalam, jumlah kematian akibat cuaca panas melampau itu sejak pertengahan bulan lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,826 orang.
Pegawai meteorologi berkata, keadaan mungkin berterusan sekurang-kurangnya selama dua hari lagi di sebahagian besar negara Asia Selatan itu, dari Tamil Nadu di selatan hingga ke Himachal Pradesh di kaki gunung Himalaya.
Kebanyakan kematian berlaku di negeri di selatan, khususnya Andhra Pradesh dan Telangana.
Kira-kira 100 penduduk mati di kedua-dua negeri itu pada Khamis ketika suhu berada di paras 43 darjah Celsius.
Dalam pada itu, ribuan lori tangki dikerah menghantar bekalan air ke lebih 4,000 kampung di Maharashtra, tengah India, yang berdepan dengan kekurangan air, lapor agensi berita Press Trust of India.
Di negeri lain, penduduk melaporkan mengenai kemusnahan tanaman dan kematian haiwan ternakan. Sebahagian haiwan itu dikatakan mati kehausan.
Penduduk melakukan apa saja untuk menyejukkan diri, termasuk berlindung di kawasan teduh, terjun ke sungai, minum susu dan jus bawang.
Bagaimanapun, kebanyakan petani dan pekerja binaan yang miskin masih terus bekerja di luar walaupun berdepan risiko.
Mereka dan warga emas yang miskin antara paling terdedah kepada serangan strok haba kerana tidak mempunyai akses kepada pendingan udara atau pokok besar untuk berteduh.
Pakar berkata, angka rasmi itu tidak menggambarkan jumlah kematian sebenar memandangkan cuaca panas itu lebih banyak membabitkan golongan miskin dan gelandangan yang tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital.
Musim hujan dijadual bermula minggu depan di selatan sebelum ia merebak ke utara.
Agensi ramalan cuaca AccuWeather memberi amaran mengenai kemungkinan kemarau berpanjangan kerana musim monsun mungkin diganggu oleh musim taufan yang lebih aktif di Lautan Pasifik.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:07 AM


PENDUDUK di New Delhi tidur di bumbung bangunan kerana kepanasan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54359#sthash.cdf6fEqJ.dpuf

No comments:

Post a Comment