Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, mangsa, Ang Hun Mung, 66, yang tinggal di rumah bertentangan dengan rumah teres itu terlihat suspek cuba memanjat pagar dan bertindak pergi ke arah suspek sehingga berlaku pergelutan selama beberapa minit.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, ketika pergelutan itu, suspek kemudian menolak mangsa sehingga terjatuh di luar rumah teres itu sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
“Saksi memaklumkan kepada kita bahawa dia terlihat suspek melarikan diri bersama-sama beg selepas menolak si mati dan difahamkan, si mati berada dalam keadaan pening sebelum terus rebah tidak sedarkan diri.
“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian dengan kesan melecet di lutut, dipercayai akibat ditolak ketika pergelutan bersama-sama suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, pihaknya kini sedang memburu suspek tersebut yang dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an.