LONDON - BRITAIN. Seorang wanita Britain yang kini sedang menunggu hukuman mati di Indonesia sempat mengarang surat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya.

Lindsay Sandiford, 58, yakin dia akan menerima nasib sama seperti tujuh pengedar dadah yang dijatuhi hukuman mati pada minggu lalu.

"Hukuman tersebut pasti akan dilaksanakan pada bila-bila masa. Saya enggan memakai penutup mata kerana mahu mereka (skuad menembak) melihat saya ketika hukuman itu dilaksanakan.

"Perkara paling menyedihkan adalah kerana tidak dapat bertemu dengan cucu perempuan saya yang kini berusia dua tahun," menurut sebahagian luahan hati Sandiford yang dipaparkan dalam akhbar tempatan, kelmarin.   

Menurut AFP, pada 2013, wanita tersebut dijatuhi hukuman mati di Bali selepas dia didapati bersalah menyeludup kokain bernilai AS$2.4 juta (RM9 juta).

Sandiford mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dan memberitahu bahawa dia terpaksa melakukan perbuatan menyalahi undang-undang itu kerana sindiket dadah mengugut untuk membunuh anak lelakinya.

Difahamkan, keluarga wanita itu turut melancarkan kempen mengumpulkan dana untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Indonesia.
Sandiford masih boleh mengemukakan rayuan pengampunan daripada Presiden Joko Widodo.