Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkip­le Kassim berkata, rampasan itu membabitkan 339 kes di samping turut menahan 221 pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Untuk tahun ini pula, kita berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM416,269 sehingga kini.
“Sebahagian besar hasil rampasan melibatkan keperluan harian seperti beras, minyak masak serta petrol yang cuba diseludup masuk atau keluar dari negara ini dan Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian pemberita selepas melawat serta meninjau kawasan sempadan di sepanjang Sungai Golok dan berakhir di Pos To'o di sini hari ini.
Yang turut hadir Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Fadzil Mokhtar dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Azmy Yahya.
Dalam pada itu, Zulkiple berkata, sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 120 kilometer di negeri ini sentiasa terkawal tanpa sebarang masalah.
“Kerjasama antara semua agensi yang terlibat dengan operasi di kawasan sempadan ini amat baik.
“Kesemua yang terlibat banyak membantu dalam menentukan perjalanan operasi di sempadan agar sentiasa berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
Tambah beliau, pembinaan pagar baharu di kawasan sempadan masih lagi di peringkat kajian dan akan dinilai berdasarkan kesesuaian penduduk.
“Pagar ini kita lihat sebagai sesuatu yang perlu untuk kawal aktiviti penyeberangan di sempadan. Oleh itu, kita akan melihat kepada kesesuaian kerana tidak mahu pagar berkenaan akan menyusahkan penduduk,” katanya.