Sumbat mayat dalam tong
Gambar kecil: Bismark Lithgow
SEORANG lelaki cacat pendengaran dijatuhi hukuman penjara 21 tahun selepas didapati bersalah menikam teman wanitanya yang juga pekak hingga mati.

Menurut pendakwa raya, Bismark Lithgow, 26, menikam Francis Pellerano, 19, sebanyak 38 kali pada Februari dua tahun lalu. Lebih malang lagi, mayat remaja itu ditemui di dalam sebuah tong air di dalam bilik tidur pangsapuri yang didiami bersama neneknya.

Peguam Daerah Manhattan Cyrus Vance Jr dalam sebuah kenyataan berkata, Lithgow mempunyai sejarah gagal mengawal kewarasan dalam hubungan dan pernah mengupah pembunuh upahan untuk membunuh bekas teman wanitanya yang didakwa curang.

“Dalam kes ini, Lithgow melakukan pelbagai cubaan membunuh termasuk membeli sepucuk pistol kerana mendakwa Pellerano mempunyai hubungan dengan lelaki lain di media sosial. Bagaimanapun, dia akhirnya menikam mangsa selepas remaja malang terbabit merancang memutuskan hubungan mereka,” katanya.

Menurut CBS New York, ketika hukuman dijatuhkan di Mahkamah Agung Manhattan, Lithgow dalam keadaan teresak-esak meminta maaf dan menyedari kesilapan yang telah dilakukan.

Sementara itu, hakim Laura A. Ward menyifatkan Lithgow sebagai tidak menghormati kehidupan manusia dan kesusahan hidup yang dialami tidak memberinya hak untuk membunuh.