KLANG - Sindiket ‘parcel scam’ yang aktif membabitkan penipuan jual beli barangan di sekitar daerah Klang lumpuh dengan tertangkapnya sembilan individu warga asing dalam dua serbuan berasingan di Taman Sentosa, di sini, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan pertama pada jam 1 pagi di sebuah  pangsapuri berjaya menahan tiga lelaki warga Nigeria dan dua wanita warga Filipina serta Thailand.

Menurutnya, hasil soal siasat, dua lagi lelaki warga Nigeria ditahan di sebuah pangsapuri lain di kawasan yang sama.

“Dalam serbuan tersebut, kita telah merampas beberapa peralatan seperti  komputer riba pelbagai jenama, tablet, telefon bimbit, kad visa, dan beg yang mengandungi pelbagai dokumen,” katanya.

Beliau turut mendedahkan sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu akan menghantar bungkusan mengandungi barangan bernilai kepada mangsanya yang terdiri daripada wanita.

Menurutnya, sindiket itu akan menyamar  dan berhubung dengan mangsa melalui laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Mereka mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran melalui akaun bank milik warga tempatan jika ingin membuat tuntutan barangan tersebut.

"Mangsa yang terpedaya kemudian membuat bayaran dengan harapan memperoleh bungkusan tersebut," katanya.

Kamarul Zaman berkata, mangsa menyedari dirinya tertipu setelah pemeriksaan dengan pihak kastam mendapati  barang yang dihantar tidak wujud.

Justeru, beliau menasihatkan orang awam supaya lebih berhati-hati dengan modus operandi membabitkan penghantaran bungkusan.

“Kesemua warga asing  berusia 25 hingga 44 tahun direman 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.