Perbuatan itu bagaimanapun terbongkar apabila Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya menumpaskan satu sindiket antarabangsa yang didalangi oleh warga Nigeria menerusi tiga serbuan berasingan yang dijalankan dalam tempoh dua hari iaitu kelmarin dan semalam.
Dalam operasi yang dijalankan di sekitar Selangor itu, sembilan lelaki warga Nigeria ditangkap manakala dadah jenis syabu seberat 6.4 kilogram dan bernilai hampir RM2.5 juta dirampas.
Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Haris Wong Abdullah berkata, dalam operasi tersebut, tiga ‘Raja Dadah’ yang menjadi buruan polis turut berjaya diberkas.
Menurut beliau, dalam serbuan pertama yang dijalankan pada pukul 6.05 petang Isnin lalu, pasukan STING telah melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat kurier di Shah Alam dan menemukan dua bungkusan berisi syabu seberat 1.56 Kilogram yang disorokkan di dalam alat pam angin elektrik.
Tambah Haris Wong, susulan itu, empat lelaki warga Nigeria termasuk seorang kingpin (raja dadah) yang amat dikehendaki berjaya diberkas di sebuah restoran di Cyberjaya dan Bandar Sri Damanasara.
“Lelaki itu menjadi buruan polis selepas dia menyusup masuk ke negara ini pada pertengahan tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam satu lagi serbuan yang dijalankan pada pukul 12.45 tengah hari semalam ke atas sebuah kondominium di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor, polis berjaya menangkap dua lelaki warga Nigeria dan merampas dadah jenis syabu seberat 3.9 kilogram yang disembunyikan di dalam sebuah bilik.
Menurut Haris Wong, bagaimanapun salah seorang daripada suspek maut akibat terjatuh dari tingkat tujuh kondominium tersebut ketika cuba meloloskan diri.
“Bertindak pantas atas maklumat, dua lagi lelaki warganegara sama berjaya diberkas kerana dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran terbabit kira-kira pukul 4.55 petang hari yang sama.
“Selepas itu, kita turut membuat satu lagi pemeriksaan sebuah kotak yang mengandungi 25 pasang kasut di syarikat perkhidmatan kurier dan hasilnya menemui sebanyak 0.9 kilogram syabu yang disorokkan di bawah tapak kasut tersebut,” ujarnya.
Tambah Haris Wong, dalam serbuan terakhir kira-kira pukul 5.30 petang di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, polis turut memberkas dua lagi lelaki warga Nigeria yang turut merupakan ahli sindiket terbabit.
“Kesemua tangkapan berumur di antara 24 sehingga 36 tahun dan direman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.