Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata tiga lelaki berusia antara 18 dan 22 tahun itu ditahan polis di Rawang, Gombak dan Setapak Jaya.
"Suspek pertama ditahan di sebuah rumah di Taman Pelangi, Rawang lebih kurang pada pukul 1 tengah hari.
"Suspek kedua pula ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak kira-kira pukul 6.40 petang manakala suspek ketiga ditahan di sebuah premis di Persiaran Rejang, Setapak Jaya pada pukul 8 malam," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas sebentuk cincin dan rantai emas yang dipercayai milik seorang daripada mangsa dalam operasi tersebut.
"Dengan penangkapan terbaru, menjadikan jumlah suspek seramai lima orang dan kes ini dianggap selesai dengan penangkapan mereka yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan ini.
"Bagaimanapun, polis sedang mengesan beberapa individu untuk membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata Mohd Adnan.
Pada Selasa lepas, dua lelaki berusia 20-an ditemukan mati, dipercayai dikelar dan dicekik rakannya akibat perselisihan faham, dalam sebuah kereta di Km10 Jalan Bristol, Rawang.
Kejadian itu berlaku kira-kira 1 pagi dan mayat kedua-dua lelaki terbabit ditemukan orang awam kira-kira lapan jam kemudian sebelum memaklumkan kepada polis.
Susulan kes tersebut, dua lelaki telah ditahan di sekitar Rawang sejam selepas polis mendapat laporan berhubung insiden berkenaan.- BERNAMA