Search This Blog

Friday, April 17, 2015

Polis Tahan Lima Lelaki Vietnam Bantu Siasatan Kes Rompakan


Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 9:44 PM
Pihak media menemuramah Rusli untuk mengetahui perkembangan beberapa kes di sekitar daerah Seberang Perai Tengah.

BUKIT MERTAJAM: Lima lelaki Vietnam ditahan di sebuah rumah di Taman Perwira, di sini bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes rompakan pejabat dan kilang serta pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Ketua Polis Daerah SPT ACP Rusli Mohd Noor berkata lima lelaki berumur 19 hingga 28 tahun itu ditahan pada Selasa susulan kejadian sebuah pejabat kilang di kawasan Perindustrian Bukit Minyak, dirompak pada hari yang sama menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000.

"Hasil pemeriksaan di rumah sewa mereka, kami menemui pelbagai barang yang dipercayai hasil pecah rumah dan rompak kilang serta pejabat.

"Antara barang yang dirampas ialah tujuh telefon bimbit pelbagai jenama,tiga komputer riba, pelbagai barang elektrik, sarung tangan dan kain penutup mulut serta peralatan yang diguna untuk pecah rumah," katanya pada Khamis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lima lelaki yang menetap di negara ini sejak empat tahun lepas tidak bekerja dan terlibat dalam lebih 10 kes merompak kilang dan menebuk peti besi di sekitar kawasan perindustrian di SPT sejak setahun lepas.

Ujian air kencing mendapati empat daripada lima lelaki terbabit positif dadah dan kesemua mereka kini direman 14 hari bagi membantu siasatan, katanya.

No comments:

Post a Comment