Dalam kejadian ki­ra-kira pukul 11.30 pagi itu, mereka yang dipercayai warga asing menceroboh masuk sebuah banglo milik seorang ahli politik yang didiami tujuh sekeluarga di taman tersebut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kesemua suspek berkenaan cuba melarikan diri setelah perbuatan mereka disedari orang awam yang segera memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
Menurutnya, sejurus menerima laporan mengenai kejadian, sepasukan polis daripada Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah bergegas ke lokasi.
“Ketiga-tiga lelaki yang menyedari perbuatan mereka dikesan pihak berkuasa kemudian bertindak melarikan diri namun seorang daripada mereka berjaya ditangkap di halaman belakang banglo tersebut.
“Pemeriksaan terhadap suspek berumur 30-an yang ditangkap itu menjumpai sebilah parang, wang tunai dan barang kemas dipercayai sebahagian daripada hasil rompakan di rumah tersebut selain telefon bimbit,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Jelas Shaikh Abdul Adzis, kesemua suspek berumur antara 20 hingga 30 tahun itu dikatakan memasuki rumah mangsa menggunakan laluan di bahagian dapur.
Katanya, seorang pen­jenayah turut memiliki senjata tajam berupa parang sepanjang 450 sentime­ter.
“Tindakan penjena­yah itu menyebabkan mangsa rugi kira-kira RM20,000 termasuk hilang wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit,” ujarnya.
Beliau berkata, seorang mangsa cedera selepas bergelut dengan penjenayah yang menggunakan parang sementara enam yang lain terselamat.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika rompak dan polis kini menggiatkan usaha memburu dua lagi suspek yang melarikan diri menggunakan motosikal.
Sementara itu, pemilik banglo berkenaan yang juga bekas Ketua Bahagian MIC Bukit Katil, Datuk K. Basil, 54, memberitahu, beliau tiada di rumah semasa kejadian kerana menghadiri mesyuarat di pusat bandar dan dikejutkan dengan panggilan telefon daripada anak perempuannya memaklumkan rumah mereka dirompak.
“Sewaktu kejadian itu, isteri, dua anak saya serta ibu bapa mertua dan seorang pembantu rumah berada di rumah berkenaan namun saya bersyukur kerana kesemua mereka selamat malah tindakan pantas polis berjaya menangkap seorang daripada tiga perompak itu,” ujarnya.