Difahamkan, menerusi kad ATM pekerja bagi akaun bank di mana gaji mereka dimasukkan, suspek akan membuat pengeluaran de­ngan mengambil sejumlah wang bunga dan hanya mengembalikan baki gaji kepada peminjam.
Namun, sekiranya pinjaman hendak diselesaikan, peminjam perlu membuat pembayaran penuh secara tunai serta bunga.
Bagaimanapun, modus ope­randi itu dibongkar apabila polis berjaya menahan seorang lelaki dan merampas sejumlah wang tunai RM88,489 termasuk 25,500,000 rupiah (RM7,150) dalam dua serbuan di sini pada 1 April lalu.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintenden Noor Hashim Mohamad berkata, hasil maklumat diterima, satu serbuan dibuat di bawah sebuah blok asrama pekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas dekat sini pada 8.30 malam.
“Dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM36,300 beserta kad ATM dipercayai milik 18 pekerja kontrak yang membuat pinjaman daripada kegiatan itu dan menahan seorang lelaki berusia 40-an.
“Susulan daripada itu, polis menyerbu rumah milik suspek di Taman Perling dan merampas wang tunai RM45,050 dan mata wang Indonesia 25,500,000 rupiah, 32 kad ATM dan buku nota serta lejar mengandungi butiran pinjaman.
“Siasatan awal mendapati suspek sudah menjalankan operasi itu selama tiga tahun dan bergerak secara sendirian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya di sini semalam.