Search This Blog

Thursday, April 23, 2015

Nelayan Vietnam curi 
gamat di perairan negara


23 April 2015 1:07 AM


NURUL HIZAM ZAKARIA (dua dari kiri) memeriksa gamat basah yang dirampas daripada nelayan warga Vietnam, di Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan, di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, semalam.

PASIR PUTEH 22 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tujuh nelayan warga Vietnam termasuk seorang tekong bersama 500 kilogram (kg) gamat yang dipercayai ditangkap di perairan negara ini kira-kira 41.3 batu nautika berhampiran Tok Bali di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, kesemua nelayan yang berusia antara 16 hingga 48 tahun itu ditangkap oleh sepasukan anggota agensi tersebut yang diketuai Bintara Muda Zailani Mamat ketika melakukan rondaan Operasi Perkasa Timur.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot yang tidak memiliki sebarang dokumen kebenaran yang sah untuk menangkap hasil laut negara ini bersama nelayan itu dibawa ke Pangkalan Operasi agensi itu di Tok Bali pada pukul 8 malam tadi.
“Kesemua nelayan ini ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Perikanan 1985.
“Pemeriksaan awal mendapati sebahagian besar hasil gamat yang dicuri dari perairan negara ini telah diproses dan dijeruk menggunakan garam yang diisi di dalam bekas plastik biru serta disimpan di ruang simpanan hasil tangkapan bot ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa tangguk besi yang digunakan untuk menangkap gamat.
Katanya, peralatan tersebut mengakibatkan kemusnahan kawasan pembiakan ikan dan ekosistem laut serta tidak dibenarkan digunakan di perairan negara ini.
“Hasil risikan yang dijalankan mendapati nelayan asing yang menceroboh perairan negara memilih musim tertentu untuk mencuri khazanah hidupan laut yang boleh dipasarkan dengan harga yang tinggi di negara mereka.
“Musim ini adalah musim gamat yakni hidupan laut yang mendapat permintaan tinggi dalam dunia perubatan tradisional. Berasaskan jumlah 500 kg yang diperoleh, mereka bakal mendapat pulangan sebanyak RM13,000 sekiranya dijual di negara mereka,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menahan empat buah bot nelayan warga Vietnam yang menceroboh perairan negara untuk mencuri khazanah laut sejak Januari sehingga hari ini.
Tambahnya, nelayan asing dari Vietnam itu turut menggunakan pukat dan peralatan yang tidak dibenarkan manakala sebahagian lagi menjalankan kegiatan menangkap sotong yang boleh dipasarkan dengan nilaian yang tinggi di negara mereka.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/nelayan-vietnam-curi-8232-gamat-di-perairan-negara-1.83751#sthash.cTAlhVaV.dpuf

No comments:

Post a Comment