DUNGUN - Sekumpulan penagih lari lintang-pukang termasuk beberapa orang bertindak terjun ke dalam laut bagi mengelak dicekup ketika serbuan pihak berkuasa di satu port penagihan dadah di kawasan Jeti Kompleks LKIM, Kuala Dungun, kelmarin.

Serbuan itu dilakukan sempena Ops Sarang Dungun digerakkan Bahagian siasatan Jenayah Narkotik IPD Dungun bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, seramai 13 lelaki warga tempatan ditahan ketika operasi itu.
Menurutnya, mereka yang ditahan berusia antara 20 dan 55 tahun dan ketika serbuan, ada yang dalam keadaan separuh sedar akibat khayal.
“Dua pegawai bersama 10 anggota dan tiga kakitangan AADK terlibat dalam operasi berkenaan dan port itu sebenarnya sudah beberapa kali diserbu.

“Sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, mereka terkejut dan cuba lari untuk menyelamatkan diri masing-masing," katanya.
Kata beliau, ada beberapa orang yang tidak memikirkan risiko dengan terjun ke dalam laut dan ada sebahagian pula bersembunyi di dalam bot di sekitar kawasan itu bagi mengelak ditangkap.
“Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota kami, mereka berjaya diberkas apabila ada anggota yang turut terjun laut dan berenang mengejar suspek, selain mengejar mereka menggunakan bot,” katanya.

Ahmad Zailani berkata, hasil pemeriksaan air kencing mendapati 12 yang ditangkap adalah positif dadah, malah kebanyakan mereka mempunyai rekod kesalahan lampau dan ada yang sering keluar masuk pusat pemulihan.

“Ketika serbuan, kita turut merampas 3.1 gram dadah jenis heroin dan tujuh pil kuda," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagihan dadah 1983.

Mereka juga ditahan reman untuk siasatan lanjut.