KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa pesawat MH370 dilihat di Maldives pada hari kehilangannya dianggap sesuatu yang ‘mustahil’ untuk berlaku.

Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan data diperoleh pakar yang menyiasat kehilangan itu.

“Saya dimaklumkan adalah tidak mungkin untuk MH370 berada di kawasan tersebut semasa hari siang seperti yang dilaporkan penduduk kepulauan itu berdasarkan jumlah minyak yang dibawa pesawat itu.

“Ia juga sama sekali tidak konsisten dengan data satelit dan bacaan radar yang diperoleh. Ia tidak dikesan oleh pusat kawalan trafik udara Maldives atau mana-mana negara lain di kawasan itu jadi ia tidak dianggap sebagai satu kemungkinan,” katanya selepas mesyuarat tiga hala bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang di sini, semalam.

Menurut Truss, pakar terlibat dalam pencarian itu juga yakin MH370 berada di kawasan pencarian yang sedang ditumpu kini iaitu di selatan Lautan Hindi.

Beliau yang berulang kali menyuarakan keyakinan pencarian MH370 dibuat di lokasi betul turut menambah bahawa alatan yang digunakan dalam operasi mencari pesawat itu adalah yang terbaik di dunia.

Beliau berkata, hasrat utama dalam pencarian itu adalah untuk menemui kotak hitam dan bahagian lain pesawat yang penting untuk siasatan supaya penjelasan dapat diberikan mengenai punca nahas itu.

Dalam pada itu, katanya, sejak kehilangan MH370 setahun lalu, sebanyak 26 negara telah membantu dalam usaha pencarian.

Truss berkata, pada masa ini, empat kapal laut sedang mencari MH370 di kawasan seluas 60,000 kilometer persegi yang disifatkan sebagai amat terpencil dengan kedalaman air 6.5 kilometer serta keadaan dasar laut yang mencabar.

Katanya, sejak pencarian dimulakan, sebanyak enam puting beliung terjadi di kawasan itu dan keadaan dijangka semakin buruk apabila musim sejuk bermula, dua bulan lagi.

Namun beliau berkata, pencarian itu secara tidak langsung membolehkan pemetaan dasar laut di selatan Lautan Hindi dibuat, iaitu kawasan yang sebelum ini tidak pernah dipetakan.