Search This Blog

Friday, April 17, 2015

Mayat Dua Sahabat Ditemui


Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 2:53 PM

MUAR: Mayat dua sahabat karib yang lemas selepas terjatuh dari jeti Kampung Jorak, Bukit Pasir, di sini dua hari lalu, ditemui masing-masing malam tadi dan awal Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Marzuki Ismail berkata mangsa pertama yang dijumpai oleh orang awam pada pukul 10.11 malam ialah Elis Norfairusnizam Sidek, 15, kira-kira 150 meter dari jeti tempat kejadian.
"Mangsa kedua pula Muhammad Afiq Asyraf Mohamad Najib, juga 15 tahun, ditemui pada pukul 3.49 pagi ini oleh orang awam pada jarak lebih kurang 50 meter dari jeti tersebut," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.
Rabu lalu, dua sahabat itu dipercayai terjatuh dari jeti ketika bermain pada kira-kira pukul 6.30 petang.
Seorang daripada mereka dipercayai tergelincir dan difahamkan rakannya cuba membantu tetapi turut tenggelam dan dihanyutkan arus deras.
Marzuki berkata mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat.
Katanya operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan lebih 70 anggota termasuk unit menyelam.
Sementara itu, bapa Muhammad Afiq Asyraf, Mohamad Najib Attan, 48, menerusi laman sosial Facebook miliknya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu, berdoa dan memberi kata-kata semangat kepada mereka sekeluarga.

No comments:

Post a Comment