Maut ketika penggambaran
Lokasi dimana Ivy membuat penggambaran video muziknya bersama 20 penari lain. Gambar kecil: Lafonzo Leonard Iracks
SEORANG bakal penyanyi rap yang sedang sibuk merakamkan video muziknya maut selepas ditembak di bahagian dada menggunakan pistol yang dijadikan prop dalam penggambaran itu.

Menurut Mirror, insiden yang menyebabkan kematian artis prolifik YouTube Keaway Lafonz Ivy, 21, atau nama pentasnya Kealo, didakwa dilakukan salah seorang penarinya.

Menurut penyelidik, Ivy terbunuh akibat terkena peluru tunggal ketika penggambaran bersama 20 penari lain di sebuah tempat letak kereta di kawasan perumahan di Maryland, Amerika Syarikat, sekitar pukul 10.30 malam (waktu tempatan).

Difahamkan, Lafonzo Leonard Iracks, 21, ditahan Jumaat lalu dan dituduh mempunyai kaitan dengan kematian Ivy. Dia dituduh terlibat dalam penggambaran video tersebut dan didakwa beredar dari tempat kejadian selepas kematian penyanyi itu.

Dia bagaimanapun kemudiannya dikesan di barat laut Washington.

Pada awalnya, pihak polis menahan beberapa orang untuk disoal siasat bagi menyiasat punca kejadian sama ada tembakan berkenaan adalah tidak sengaja atau disengajakan.