Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, turut dirampas ialah sebuah bot bernilai lebih RM1 juta bersama peralatan menangkap ikan serta 2,000 kilogram pelbagai jenis ikan yang ditangkap nelayan terbabit.
Menurutnya, bot nelayan asing bernombor pendaftaran CM 99423 TS yang dikendalikan seorang tekong bersama 10 awak-awak warga Vietnam itu tidak menyedari kehadiran Kapal Maritim (KM) Amanah yang diketuai Leftenan Komander Maritim Sahrih Samsudin menghampiri bot mereka pada pukul 8.30 pagi ketika mendaratkan hasil tangkapan.
“Pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan tidak memiliki lesen menangkap ikan yang sah dan kesemua nelayan terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri termasuk surat kebenaran menangkap ikan di perairan negara ini serta gagal mengemukakan buku pelaut yang sah.
“Bot terbabit ditunda ke pangkalan operasi Maritim Malaysia pada pukul 2 pagi dan kesemua nelayan berusia 21 hingga 51 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan, di Tok Bali di sini hari ini.
Nurul Hizam berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan rondaan menerusi Operasi Perkasa Timur yang memberi tumpuan khusus terhadap pencerobohan nelayan asing dan kegiatan mencuri hasil perairan negara.
Beliau berkata, nelayan terbabit akan disoal siasat dan bot mereka digeledah bagi pemeriksaan serta pengesanan sebarang kemungkinan lain yang membabitkan jenayah senjata api dan dadah.
“Pemeriksaan ke atas bot ini dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan dan setakat ini tiada sebarang penemuan lain,” katanya.
Tambahnya, sepanjang Januari 2015 sehingga hari ini Maritim Malaysia berjaya menahan dan mendakwa sembilan buah bot nelayan Vietnam.
“Kita sentiasa bersiap sedia dalam membanteras dan menangani sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang negara di sepanjang perairan negeri ini,” katanya.