AZAM BAKI
Pengarah Perisikannya, Datuk Azam Baki berkata, mereka akan dipanggil dalam tempoh dua minggu ini untuk membantu siasatan berhubung pemilikan kenderaan tanpa dokumen yang sah.
Menurut beliau, kebanyakan pemilik kenderaan berkenaan tinggal di Terengganu dan Kelantan.
“Kita ingin mengingatkan kepada mereka yang membeli atau terbeli kenderaan diklon dari Singapura dan menggunakan secara tidak sah supaya menyerahkan kenderaan masing-masing di mana-mana pejabat SPRM terdekat dengan segera.
“Tindakan memiliki kenderaan seperti ini adalah satu kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azam berkata, pihaknya dengan kerjasama JPJ akan menjalankan operasi besar-besaran bagi mengesan kenderaan yang diklon.
“Pemilik kenderaan yang dikesan selepas ini akan terus ditahan untuk disoal siasat,” katanya.
Beliau memberitahu, SPRM Negeri Sembilan telah menerima dua kenderaan yang diserahkan oleh pemilik secara sukarela semalam selain sebuah lagi kenderaan diserahkan di JPJ Bandar Baru Bangi, dekat sini hari ini.
“Selain itu seorang lagi individu berusia 26 tahun turut ditahan kelmarin kerana dipercayai anggota sindiket untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Minggu lalu, SPRM Negeri Sembilan menahan tujuh individu dan menyita 14 buah kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai lebih RM1.5 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
Dalam satu sidang akhbar khas SPRM bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad semalam, SPRM memberitahu, sebanyak 153 kenderaan klon antaranya Mazda, BMW, Mercedes, Toyota dan dua buah motosikal kuasa tinggi yang dianggarkan bernilai lebih RM13 juta dikesan Terengganu baru-baru ini.
Susulan itu, tiga individu turut ditahan disyaki terlibat sebagai orang tengah membawa masuk kenderaan tersebut dari negara jiran melibatkan kes di Terengganu manakala tujuh lagi diberkas di Seremban, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Johor pada Jumaat lalu.