Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, selain mengenal pasti identiti suspek kejadian tersebut, polis turut mempunyai saksi berhubung kejadian itu.
Menurutnya, satu unit tindakan khas telah ditubuhkan bagi memburu dan menjejaki penjenayah tersebut yang diyakini masih berada di dalam negeri ini.
“Dari segi penampilan serta perwatakan, kedua-dua suspek tersebut mempunyai personaliti yang baik malah tidak disangka atau tidak disyaki akan melakukan jenayah samun dan bunuh ini.
“Namun berdasarkan siasatan dijalankan kejadian jenayah ini menjurus kepada perbuatan orang dalam kerana mereka begitu mengetahui proses pembayaran gaji pekerja ladang dan selok-belok pejabat di ladang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas serta program derma darah sempena sambutan peringatan Hari Polis Ke-208, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah hospital, Dr. Tan Bee Hwai dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Sabah, Datin Siti Aishah Haron.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, suspek dikatakan tidak mempunyai ahli keluarga di negeri ini dan dipercayai bekerja di ladang berkenaan lebih setahun lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah seorang suspek, pihak polis menemukan dua butir peluru hidup iaitu masing-masing jenis .38 dan colt 45.
Dalam kejadian tersebut, seorang pengurus ladang, Yuen Wing Wah, 50, maut setelah terkena tembakan manakala majikannya iaitu Danny Wong, 30, mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sandakan bagi menerima rawatan.
Kedua-dua suspek dipercayai bertindak memasuki bilik majikan pada hari pembayaran gaji pekerja ladang dan membawa lari wang gaji tersebut yang dilaporkan sebanyak RM18,000.