Bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran tersebut sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan semasa bertembung dengan sepasukan anggota Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan Sungai Trong, Larut Matang, Taiping dekat sini.
Ketua Maritim Malaysia Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Komander Maritim Noor Azmi Mohd. Dahan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, anggo­tanya telah terserempak dengan sebuah bot nelayan yang dipandu dengan laju dan mencurigakan.
“Anggota kita segera bertindak mengejar bot tersebut sambil mengeluarkan arahan meminta agar berhenti, namun tidak diendahkan mereka.
“Tekong dan seorang awak-awak yang berada di atas bot yang mula panik segera melarikan diri menuju ke kawasan hutan bakau perairan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Menurut Noor Azmi, bot tersebut kemudiannya terkandas di kawasan cetek dan pemeriksaan awal yang dijalankan hanya menemukan satu timbunan jaring sebelum 34 bungkusan berwarna biru dan hitam memuatkan haiwan eksotik yang dilindungi sepenuhnya itu dijumpai dalam keadaan masih hidup.
“Saya percaya tenggiling itu untuk diseludup di pasaran gelap tempatan dan menganggap tindakan anggota yang peka dan tangkas mematahkan cubaan itu sebagai satu kejayaan besar pada tahun ini.
“Haiwan eksotik itu mungkin untuk dijadikan makanan, manakala sisiknya dipercayai digunakan untuk membuat bahan-bahan produk kecantikan.
“Harga pasaran bagi tenggiling jantan adalah sekitar RM205, manakala bagi tenggiling betina harganya mampu mencecah sehingga RM500 sekilogram,” katanya.
Katanya, harga pasaran bagi sisiknya pula mampu mencecah sehingga RM300 sekilogram dan dipercayai digunakan untuk rawatan tradisional masyarakat Cina, selain turut untuk membuat bahan asas produk kecantikan.