Search This Blog

Saturday, April 11, 2015

Cedera jatuh pokok genuak


Jeli: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas terjatuh daripada pokok setinggi enam meter ketika memetik buah genuak dalam kejadian di Kampung Air Bo dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa Mahasam Ab Ghani, 43, dikatakan terjatuh selepas dahan yang dipijak patah.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggang sebelum dibawa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Isterinya Zairinah Abd Rahman, 50, berkata, sebelum kejadian dia bersama suaminya pergi ke kebun berkenaan bagi memetik buah genuak untuk dijadikan ulam.

Katanya, sebaik tiba di kebun, suaminya terus memanjat salah satu pokok genuak sebelum beralih ke pokok kedua.

“Saya sudah nasihatnya supaya turun kerana solat Jumaat sudah dekat, tetapi mangsa menyuruh saya tunggu sebentar.

“Selang beberapa minit saja, saya lihat suami terjatuh pada ketinggian enam meter selepas dahan yang dipijak patah,” katanya ketika ditemui di Hospital Jeli, semalam.

Katanya, dia terus mendapatkan suami yang terlantar kesakitan sebelum memberitahu jiran dari kebun bersebelahan untuk membantu.

“Bagaimanapun, kami gagal membawanya keluar kerana kecederaan yang dialaminya agak serius.

“Kami kemudian menghubungi JPAM untuk bantuan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, pihaknya bersama empat anggota dan sebuah ambulans bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 1.25 petang.

Katanya, sebaik tiba kami dapati mangsa masih lagi berada di bawah pokok berkenaan dan kami mengambil masa 15 minit untuk membawa mangsa keluar kerana laluan yang sukar.

No comments:

Post a Comment