Bolos melalui tingkap nako
Penjenayah dipercayai masuk ke rumah mangsa melalui tingkap ini.
KEPALA BATAS - Suami isteri berumur lingkungan 30an kerugian hampir RM13,500 apabila rumah mereka di Taman Bertam Perdana 3, disamun sekumpulan lelaki dipercayai warga asing, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, pasangan itu yang sedang tidur bersama anak mereka dalam sebuah bilik, terkejut apabila mendengar bunyi kuat dalam rumah mereka.

Difahamkan empat suspek memasuki rumah mangsa menerusi tingkap nako berdasarkan kepingan nako yang ditinggalkan di tepi pintu di tingkat bawah rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata seorang suspek bertindak ganas memecahkan pintu bilik menggunakan tong gas.

Menurutnya, setelah memasuki bilik mangsa, suspek mengambil barangan berharga milik pasangan terbabit.

“Suami mangsa cuba melawan suspek yang bersenjatakan pisau sehingga menyebabkan pergelangan tangannya cedera.

“Pasangan suami isteri itu kemudian diikat sebelum suspek menggeledah bilik tidur mangsa dan merampas rantai serta gelang emas milik mangsa,” katanya.

Menurutnya, penjenayah itu turut merampas dua telefon bimbit dan tunai RM350.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta diletakkan di luar rumah mangsa," katanya.

Polis kini sedang giat memburu suspek terlibat.