Search This Blog

Friday, April 17, 2015

Bida kalungan bunga taktik terbaharu pelacuran

KHAMIS, 16 APRIL 2015 @ 10:08 PM

KUALA LUMPUR: Dengan hanya membeli kalungan bunga, pelanggan yang mengunjungi beberapa pusat hiburan di ibu kota boleh mendapatkan khidmat seks yang ditawarkan pelayan pelanggan (GRO). Pusat hiburan terbabit akan menyediakan kalungan bunga dengan nilai harga antara RM50 dan RM500 untuk pelanggan premis terbabit. Pembida tertinggi akan mendapat perkhidmatan seks daripada `gadis' yang membawa bunga itu selain menerima tarian khas. Itu satu `kelainan' yang dibuat oleh pusat hiburan terbabit bagi merancakkan kegiatan pelacuran. Superintendan Razali Abu Samah dari Bahagian Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya mengesan modus operandi terbaharu itu hasil pemantauan dan risikan berikutan maklumat orang awam. "Pelanggan akan membida gadis kalung bunga dengan harga yang tinggi. Jika pelanggan membeli lebih bunga yang dijual, mereka akan mendapat khidmat seks daripada penjual bunga terbabit. "Pelanggan boleh melakukan aktiviti itu sama ada menyewa hotel atau di rumah pelanggan," katanya. Beliau berkata, cara itu bertujuan mengaburi pihak berkuasa dengan beroperasi tanpa bergantung kepada sesuatu premis serta menjalankan kegiatan tidak bermoral itu di lokasi lebih strategik seperti di hotel bajet atau kediaman mereka. Sementara itu, Razali berkata, pihaknya mengeluarkan 60 saman dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini terhadap rumah urut di ibu negara atas pelbagai kesalahan berbanding 13 saman dalam tempoh sama tahun lalu. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengesan perkhidmatan pelacuran yang beroperasi secara dalam talian. Katanya, hampir 50 laman web di negara ini kini dalam perhatian pihak berkuasa yang dipercayai menawarkan perkhidmatan pelacuran secara bersembunyi dengan mengenakan bayaran khas untuk mendapatkan pelanggan, selain membuat temu janji di lokasi tertentu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment