Search This Blog

Thursday, April 23, 2015

Berang PM tarik rambut

Wellington: Perdana Menteri New Zealand John Key (gambar) memohon maaf kepada seorang pekerja kafe kerana dilaporkan tidak mengendahkan permintaannya supaya tidak menarik rambutnya yang diikat ekor kuda ketika mengunjungi premis itu selama beberapa bulan.
Wanita itu yang menyatakan kejadian berkenaan tanpa mendedahkan identitinya di laman web The Daily Blog mendakwa Key mula menarik rambutnya tahun lalu.
Katanya, dia pada mulanya tidak kisah dengan perbuatan Key itu kerana menganggap Perdana Menteri itu ingin bergurau.
Namun, dia akhirnya tidak tahan dengan perbuatan itu dan memaklumkan rasa tidak senang hati kepada pasukan keselamatan Key.
Dia kemudian berulang kali berkata ‘jangan’ selain menunjukkan isyarat melarang perbuatan itu menggunakan jarinya.
Key bagaimanapun tidak mengendahkannya dan tetap menarik rambutnya ketika lawatan selepas itu menyebabkan wanita terbabit berkata: “Berhenti kalau tidak saya akan pukul anda.”
Dalam blog itu, wanita berkenaan berkata: “Saya memang tidak sukakan perbuatannya yang membuatkan saya rasa dibuli. Malah pernah saya menangis kerana terlalu geram.”
Sementara itu, pejabat Key semalam mengeluarkan kenyataan mengakui pemimpin itu kerap melawat kafe berhampiran rumahnya, malah dia dan isteri mempunyai hubungan baik dengan pekerja di situ.
“Dia tidak bermaksud apa-apa sebaliknya perbuatan itu sekadar gurauan. Key tidak pernah berniat membuatkannya rengsa, malah sudah memohon maaf,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 7:40 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45680#sthash.X1cXYTfQ.dpuf

No comments:

Post a Comment