Mainasi Issa, 23, seorang daripada wanita albino Malawi yang diletakkan di bawah perlindungan polis di negara Afrika timur itu. AFP
LILONGWE 22 April - Negara-negara di Afrika Timur dilapor mula meningkatkan kawalan keselamatan ke atas golongan albino di negara mereka dalam usaha terdesak kerajaan menghentikan permintaan ke atas anggota badan golongan itu di pasaran gelap bagi tujuan dijadikan bahan jampi atau tangkal.
Polis di seluruh Malawi telah diarah menembak sesiapa sahaja yang didapati menyerang golongan albino ketika Perdana Menteri Tanzania, Mizengo Pinda menggesa rakyatnya membunuh sesiapa sahaja yang mempunyai bahagian tubuh golongan albino bersama mereka.
Di Burundi, golongan belia albino dari seluruh Afrika Timur ditempatkan di sebuah pusat perlindungan khas di bawah perlindungan tentera bagi mengelak pemburu yang mencari anggota badan mereka.
Langkah pencegahan drastik itu dibuat ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 15 orang menghidap albino dengan kebanyakannya kanak-kanak, sama ada dibunuh, dicederakan atau diculik di Afrika Timur dalam tempoh enam bulan lalu.
Anggota badan golongan albino sangat bernilai dalam ilmu hitam kerana dipercayai jampi menggunakan anggota golongan itu akan membawa tuah, kasih sayang dan kekayaan.
Ketua Polis Malawi, Lexen Kachama mengarahkan polis supaya menembak `penjenayah berbahaya’ yang didapati menculik golongan albino, menurut laporan media tempatan yang dipetik Mail Online.
“Tembak setiap penjenayah ganas semasa mereka ditangkap menculik individu albino,’’ katanya.
Arahan Kachama dibuat sebulan selepas insiden seorang lelaki Malawi ditahan ketika cuba mencekik hingga mati seorang remaja albino berusia 16 tahun.
Kenyataan serupa dikeluarkan Perdana Menteri Tanzania, Mizengo Pinda pada 2009 yang mengarahkan rakyatnya membunuh serta merta mana-mana individu yang memiliki anggota badan atau organ individu albino.
Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia yang membela albino meminta supaya golongan itu diberikan perlindungan oleh kerajaan, sambil menegaskan bahawa tindakan membunuh penjenayah terbabit tidak akan menghentikan jenayah tersebut kerana individu lain akan tetap terpengaruh dengan ganjaran yang ditawarkan kepada sesiapa yang memiliki anggota badan albino.
No comments:
Post a Comment