pdrm

KUALA TERENGGANU - Setelah lebih 24 jam bertarung nyawa akibat dibelasah kerana disyaki mencuri lembu, seorang lelaki akhirnya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian di Kampung Pengkalan Maras, di sini, Sabtu lalu, mangsa berusia 28 tahun, dipercayai dibelasah oleh sekumpulan penduduk kampung yang mendakwa dia merupakan individu dikehendaki kerana mencuri lembu di kawasan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa dipercayai dibelasah sekumpulan penduduk kampung sehingga tidak sedarkan diri.
“Arwah dibelasah teruk dan terpaksa dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan kerana mengalami pendarahan teruk di kepala, patah kedua belah tangan serta luka di pipi dipercayai dipukul menggunakan senjata.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri ketika di lokasi kejadian, berada dalam keadaan koma ketika menerima rawatan sebelum doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia keesokan harinya (Ahad),” katanya.
Wan Abd Aziz berkata, laporan awal perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk akibat dipukul.
Rentetan laporan perubatan itu, jelas Wan Abd Aziz, pihaknya melancarkan operasi mencari individu terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Sehingga kelmarin, tujuh suspek berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan.
“Tetapi kita percaya masih ada suspek yang terlibat dan diharapkan dengan penahanan tujuh suspek ini dapat membantu kita mengenal pasti individu yang masih bebas,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak mengambil tindakan terburu-buru jika menangkap sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam apa jua kes jenayah, kerana tindakan itu akan memakan diri sendiri.
“Saya nasihatkan orang ramai jangan sesekali ambil tindakan sendiri, serahkan dulu kepada kami dan biarkan kami jalankan siasatan selanjutnya, sama ada seseorang itu bersalah atau tidak,” katanya.

Berhubung dakwaan penduduk yang kononnya arwah merupakan suspek curi lembu, Wan Abd Aziz berkata, sehingga kini pihaknya masih menyiasat sama ada dakwaan penduduk itu benar atau tersalah orang.