DHAKA - BANGLADESH . Sekurang-kurangnya 11 maut dan beberapa lagi cedera selepas rumah setinggan dua tingkat yang didiami runtuh dalam dataran lumpur di ibu negara Bangladesh, kelmarin.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Dhaka, Mohammad Fariduddin berkata, lantai tingkat dua pondok yang didirikan menggunakan tiang buluh tumbang sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan) dan menyebabkan puluhan orang terperangkap di dalam paya.

"Setakat ini, pasukan penyelamat menemui 11 mayat dan kami mengesyaki beberapa lagi masih hilang. Jumlah sebenar penduduk yang ada di dalam rumah ketika ia runtuh juga belum dapat dipastikan," katanya.

Difahamkan, kesemua 12 bilik di tingkat satu tenggelam di dalam lumpur.

Penduduk miskin  Bangladesh membina setinggan di tepi tasik  dengan keperluan keselamatan minimum, sekali gus membawa kepada kemalangan yang kerap. - AFP