Search This Blog

Wednesday, March 18, 2015

Warga emas rentung dalam kebakaran di Tanah Merah



TANAH MERAH: Seorang warga emas rentung dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah selepas gagal menyelamatkan diri di Lorong Tok Janggut, Kampung Banggol di sini, hari ini.
Mangsa, Embong Othman, 88, dikatakan sedang mandi ketika kebakaran berlaku dan gagal diselamatkan anggota keluarganya dalam kejadian pada 12.30 tengah hari itu.
Menantu mangsa, Hasnah Deraman, 61, berkata ketika kejadian beliau sedang berada di luar rumah sebelum terlihat percikan api di sebatang tiang elektrik berhampiran rumahnya.
"Percikan api itu menyebabkan kebakaran berlaku dan saya kemudian bergegas masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan suami yang sakit lelah dan enam cucu.

MENANTU mangsa, Hasnah Deraman, menunjukkan tempat mangsa yang ditemui rentung di depan pintu bilik air dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah kediaman di Lorong Tok Janggut, Kampung Banggol, Tanah Merah. - Foto Mohamad Sahidi Yusoff
"Selepas itu, saya cuba masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan ibu mentua, namun gagal kerana api semakin marak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.37 tengah hari.
"Kami tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian bersama 10 anggota dan tiga jentera dan mendapati api sedang marak membakar tiga buah rumah.
"Kami berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran pada 1.20 petang dan mendapati selain rumah, dua kereta dan empat motosikal turut musnah dalam kebakaran itu," katanya.
Beliau berkata, kebakaran itu turut menyebabkan kira-kira 15 mangsa tinggal sehelai sepinggang kerana kehilangan rumah dalam kejadian berkenaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment