Tujuh maut bom kereta meletup di Afghanistan
Pasukan keselamatan Afghanistan kini berjuang menentang Taliban di negara dilanda perang itu.
KABUL - AFGHANISTAN . Sekurang-kurangnya tujuh maut manakala 41 lagi cedera dalam satu letupan bom kereta disyaki dilakukan militan Taliban di wilayah selatan Helmand, Afghanistan, kelmarin.

Menurut Timbalan Gabenor Wilayah Mohammad Jan Rasolyar, pengebom meletupkan kereta berhampiran sebuah kompleks di Lashkar Gah yang menempatkan gabenor, ketua majlis wilayah dan timbalan ketua polis wilayah.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka terselamat dalam insiden yang dipercayai disasarkan kepada perhimpunan pegawai kanan kerajaan, ahli masyarakat sivil dan wartawan yang ketika itu menyertai seminar berkaitan pemerdagangan manusia dan penculikan.

Kesemua mangsa cedera termasuk jurucakap kerajaan wilayah, Omar Zhwak dikejarkan ke hospital berdekatan untuk dirawat.

Bulan lalu, tentera memulakan operasi menentang Taliban bertujuan melemahkan mereka sebelum bermulanya musim berjuang pada April atau Mei. - Press TV