Pendaftar Kanan Mahkamah Rendah di sini, Bryan Brian Mason membenarkan ketiga-tiga suspek tersebut yang berusia antara 21 dan 27 tahun itu direman sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Mereka disiasat mengikut Seks­yen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan ce­dera parah menggunakan senjata yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, seorang lelaki dibelasah oleh dua suspek menggunakan topi keledar dan rakaman video perbuatan mereka selama 43 saat telah dimuat naik dan menjadi viral di laman sosial Facebook.
Perbuatan itu ternyata menimbulkan kemarahan orang ramai dan meminta pihak polis memburu ke­semua suspek yang terlibat.
Mangsa berusia 46 tahun me­ngalami kecederaan di kepala dan badan selepas dipukul suspek yang dipercayai mabuk.
Difahamkan, sebelum kejadian, rakan mangsa yang memandu kereta Toyota Unser membunyikan hon selepas dua suspek yang menaiki sebuah motosikal itu menunggang dalam keadaan berbahaya.
Suspek dan rakan mangsa bertindak memberhentikan kenderaan masing-masing di tepi jalan dan mang­sa yang turun untuk berbincang tiba-tiba dibelasah oleh dua lelaki berkenaan sementara rakan mangsa pula dihalang daripada membantu.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Entusa Imam berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sebuah rumah di Kampung Bako di sini pada pukul 2 pagi ini.
Katanya, beliau percaya ada le­bih tiga individu terlibat dalam kes berkenaan dan pihak polis masih mengesan suspek lain bagi membantu siasatan.