Search This Blog

Thursday, March 12, 2015

Tiga minggu dipenjara cederakan isteri


12 Mac 2015


KUALA LUMPUR - Akibat mencederakan isteri yang menyuruhnya mencari pekerjaan lain, seorang penghantar surat dipenjara tiga minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Saifulakmal Said memerintahkan Muhammad Ishak Krishnan, 29, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap pada 9 Mac lepas.

Muhammad Ishak mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya Nisaalina Abdul Rashid Veloo, 29, seorang pekerja pemasaran.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta di bawah Flat Blok A, Sri Kelantan Jalan Sentul Pasar, Sentul, di sini pada 8.30 malam, 3 Mac lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, mangsa telah menyuruh suaminya mencari pekerjaan lain namun tertuduh yang marah dengan permintaan itu, telah menampar muka mangsa dan memukulnya di bahagian leher sehingga menyebabkan lebam di muka dan belakang kepala.

Terdahulu, Muhammad Ishak yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya kelihatan sedih dan menangis memohon hukuman ringan dengan alasan dia berpendapatan rendah dan perlu menanggung keluarga.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran. - Bernama

No comments:

Post a Comment