Ruslan Abdullah (dua dari kiri) menunjukkan rangka motosikal curi yang dijumpai semula dalam Ops Lejang di Ibu Pejabat Polis Daerah, Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 17 Mac - Tiga kumpulan curi motosikal yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang dan Ipoh, Perak sejak setahun lalu akhirnya tumpas dengan penahanan 12 anggotanya termasuk seorang wanita.
Kesemua mereka daripada tiga sindiket yang dikenali sebagai Geng Anoi, Geng Amar dan Geng Abadi terlibat dalam kira-kira 40 kes kecurian motosikal yang dianggarkan bernilai RM40,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Ruslan Abdullah berkata, kesemua suspek ditahan dalam Ops Lejang yang dijalankan antara 7 sehingga 11 Mac lalu.
Menurutnya, mereka ditahan di sekitar Kampung Padang Jawa, Kota Kemuning dan Jalan Kebun di Klang serta Pelabuhan Klang dan polis sedang memburu saki-baki anggota kumpulan terbabit.
“Modus operandi sindiket ini adalah mencuri motosikal di kawasan flat pada waktu malam sebelum menjual kesemua komponen di pasaran gelap.
“Kebanyakan motosikal yang dicuri dicampakkan ke dalam parit dan sungai bagi menyembunyikan bukti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, kira-kira 20 rangka motosikal berjaya ditemukan dan hasil semakan pada nombor casis mendapati kenderaan tersebut dilaporkan dicuri.
“Polis juga berjaya menemukan barang yang dicuri di Shah Alam, Subang Jaya, Klang dan Ipoh,” ujarnya.
Sementara itu, kebanyakan suspek berumur antara 18 hingga 22 tahun itu didapati mempunyai rekod kesalahan melibatkan kes kecurian.
Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.
No comments:
Post a Comment