Tembak telefon bimbit kekasih kerana cemburu
Zakaria (kanan) menunjukkan barang dan senjata yang dirampas, semalam.
ALOR SETAR - Seorang lelaki sanggup menembak telefon bimbit teman wanitanya kerana melepaskan geram di sebuah restoran dekat Padang Terap, kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila wanita berkenaan didatangi dua lelaki warga Thailand.

Insiden bermula dengan pertengkaran sepasang kekasih sebelum teman lelakinya merampas telefon bimbit wanita itu dan melemparnya ke tanah.

Lelaki itu kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah telefon bimbit teman wanitanya sebelum melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof berkata, mangsa yang berusia lingkungan 40-an kemudian membuat laporan di balai polis berdekatan kira-kira jam 1 pagi.

“Berikutan laporan wanita itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melancarkan operasi khas untuk mengesan lelaki tersebut.

“Kita menahannya di sebuah stesen minyak berdekatan kira-kira jam 3.30 pagi,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki suspek bersama beberapa jenis peluru hidup dan dua pasang gari.

“Polis kemudian menyerbu sebuah rumah dipercayai kenalan suspek di daerah sama kira-kira jam 5.30 pagi.

“Kita menjumpai dan merampas selaras senapang angin bersama pelbagai jenis peluru hidup,” katanya.

Zakaria berkata, kedua-dua suspek berumur lingkungan 30-an direman sehingga 17 Mac ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api dan peluru.

“Pelbagai senjata api dan peluru kita sudah rampas, tetapi pistol yang dipercayai digunakan semasa kejadian masih dalam pencarian.

“Suspek belum tunjuk di mana pistol itu berada atau dibuang," katanya.

Pada masa sama, polis merampas 22 beg hitam berisi daun ketum seberat 135 kilogram (kg) pada serbuan kedua di sebuah rumah dekat kawasan Padang Terap.

Daun ketum dianggarkan bernilai RM11,000 itu dipercayai untuk tujuan pasaran negara jiran.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti penyeludupan senjata api atau pemilikan senjata api boleh memaklumkan segera kepada polis,” katanya.