Ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 20 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu padapukul 12.15 tengah hari.
Serbuk ekstasi yang bungkus itu boleh dicampurkan dengan semua jenis air termasuk arak untuk dijadikan minuman yang mengkhayalkan dinamakan Happy Water.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Martin Khoo berkata, jika dilihat secara kasar, peket minuman segera tiga dalam satu yang dirampas itu tiada perbezaan dengan peket minuman biasa di pasaran sebelum dibuka.
Katanya, sindiket memasukkan serbuk ekstasi ke dalam bungkusan minuman segera itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa untuk diedarkan kepada penagih di sekitar Sibu.
“Berat serbuk dadah disyaki ekstasi yang dirampas dalam kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dinaiki ketiga-tiga suspek ialah kira-kira 1.1 kilogram (kg).
“Polis turut merampas beberapa botol kecil bersaiz 10 mililiter yang mengandungi cecair disyaki ketamin dan 175 biji pil ekstasi,” kata­nya pada sidang akhbar di IPD Sibu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Martin memberitahu, serbuk ekstasi dalam minuman segera tiga dalam satu itu dipercayai dijual dengan harga kira-kira RM200 sepeket.
Katanya, nilai kesemua dadah dirampas dianggarkan RM22,540 dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,900 daripada suspek.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan,” katanya.