Mereka yang digantung tugas ialah seorang hakim majistret daerah Dimapur, superitendan polis dan warden penjara, kata Ketua Menterinya, T. R. Zeliang.
Tindakan itu dilakukan apabila sekumpulan penduduk membelasah sehingga mati suspek kes rogol berkenaan selepas dia dibogelkan dan diheret sejauh enam kilometer.
Polis juga melancarkan ope­rasi memburu beberapa orang lelaki yang dipercayai mendalangi insiden itu.
Dalam insiden semalam, seorang orang awam turut terkorban, sementara beberapa yang lain cedera apabila polis bertindak melepaskan tembakan ke arah kumpulan demonstrasi berkenaan.
Beberapa buah kedai dan perniagaan juga terpaksa ditutup di Dimapur hari ini dan pasukan tentera telah dikerah melakukan kawalan keselamatan di sekitar bandar tersebut yang kini di bawah perintah berkurung.
Pembunuhan suspek kes rogol itu mencetuskan kebimbangan di seluruh India, berhubung keganasan seksual yang sering terjadi dalam kalangan wanita.
Suspek ditangkap pada 24 Februari lalu kerana disyaki merogol seorang wanita tempatan.
Menteri Dalam Negeri, ­Rajnath Singh telah meminta satu laporan tentang kejadian pecah masuk penjara itu diserahkan kepadanya.
Sementara itu, insiden tersebut turut mencetuskan bantahan dari negeri jiran, Assam yang merupakan tempat asal suspek rogol berkenaan yang dikenali sebagai Farid Khan.
Kumpulan penunjuk pe­rasaan di Assam bertindak membuat satu sekatan jalan raya di kawasan tersebut dan menahan beberapa lori yang membawa barangan serta kenderaan lain dari memasuki Nagaland.