Suami jadi mangsa dera isteri
Gregory (kiri) dan Gilbertson
GARA-GARA bertengkar kerana masalah kewangan dan kerja rumah, seorang lelaki melecur teruk dan terpaksa hidup dengan parut kekal selepas bekas isterinya mencurahkan air mendidih di badannya.

Menurut laporan Mirror, akibat kejadian itu, Ken Gregory, 65, dari Peterborough, England, mengalami kelecuran darjah pertama dan kedua di 14 peratus daripada bahagian tubuhnya.

Ketika kejadian 23 Mac tahun lalu, Gregory dan bekas isterinya, Teresa Gilbertson, 60, dikatakan berselisih faham sebelum mencapai kata sepakat untuk bercerai selepas lima tahun berkahwin.

Apabila Gilbertson menawarkan untuk membuat secawan teh, Gregory menolak pelawaan itu dan isterinya meninggalkan bilik sebelum kembali membawa satu jag air yang baru masak.

Tanpa amaran, wanita tersebut mencurahkan air panas itu dari atas kepala dan di bahagian belakang badan Gregory yang ketika itu berdiri secara membelakangkannya.

“Dia datang tanpa amaran. Sakitnya tidak tertanggung. Selepas kejadian itu, saya sukar tidur kerana tidak boleh baring,” katanya.

Menurut pendakwa, corak kecederaan menunjukkan air itu dicurahkan dengan sengaja dan bukannya kemalangan.

Gilbertson kini sedang menanti hukuman dijatuhkan pada 24 Mac depan selepas didapati bersalah awal bulan ini.